BERITA SEMASA

Dana judi: Jawapan SPRM bukan bermakna kes tutup – Azalina

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan jawapan yang diberikannya berhubung dakwaan parti Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan bermakna perkara itu telah dihentikan atau digugurkan.

Beliau berkata, dalam hal itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

“Saya ingin menegaskan bahawa jawapan yang saya berikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berkenaan dengan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan.

“Sebaliknya, SPRM hanya telah menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

“Dalam hal ini, SPRM sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan-siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 [Akta 694] atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan kepada maklumat dan juga bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

Beliau berkata, undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah.

Semalam dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum yang lalu, Azalina berkata SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button