BERITA SEMASA

SPRM arah Abdul Azeez, keluarga terdekat isytihar harta

KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menyerahkan notis kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarga terdekatnya termasuk anak-anak bagi mengisytiharkan harta mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, notis berkenaan disampaikan mengikut peruntukan undang-undang dan penerima diberikan tempoh sebulan untuk mengemukakan pengisytiharan harta.

Menurutnya, lanjutan masa boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan tertentu dan tertakluk kepada keadaan semasa.

“Pihak kami telah menyerahkan notis kepada Datuk Seri Abdul Azeez dan ahli keluarganya untuk beliau mengisytiharkan hartanya seperti yang termaktub di bawah undang-undang.

“Di bawah akta itu tempohnya sebulan. Jika tempoh tersebut tidak mencukupi, kami boleh memberikan lanjutan tertakluk kepada keadaan,” katanya pada sidang akhbar Program Menembak Bersama Media 2026 di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang hari ini.

Ketika ditanya sama ada notis itu turut melibatkan anak-anak Abdul Azeez, beliau mengesahkan perkara tersebut namun enggan mendedahkan jumlah ahli keluarga yang terlibat.

“Keluarga terdekat, saya tidak boleh nyatakan berapa jumlahnya, tetapi termasuk anak-anaknya juga,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Halim berkata, setakat 18 September lalu, seramai enam individu telah didakwa membabitkan lapan isu atau kes yang disiasat susulan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH.

Beliau berkata, siasatan SPRM bagaimanapun masih diteruskan dengan lima lagi kertas siasatan yang belum dimuktamadkan.

“Kami sedang mengumpulkan maklumat terperinci dan terkini daripada pihak berkaitan bagi melengkapkan siasatan yang masih berjalan,” katanya lagi.

Pada 9 September lalu, Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad serta mempengaruhi Ahli Lembaga TH meluluskan cadangan pelaburan bernilai RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Abdul Azeez turut ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pemberian hibah TH mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan selepas permohonan polis untuk melanjutkan remannya ditolak mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button