JENAYAH & MAHKAMAH

CEO bola sepak di utara tanah air antara 4 ditahan SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di sebuah negeri di utara tanah air antara empat individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah lebih RM6 juta.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 7 Januari depan terhadap keempat-empat suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan sekitar jam 5.00 hingga jam 6.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah bagi dirakamkan keterangan.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.

“Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri,” menurut laporan Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button