Siasatan SPRM terhadap bekas menteri dibuka semula
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan terhadap seorang bekas menteri berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas memperoleh maklumat baharu.
Menurut sumber yang enggan dikenali berkata, siasatan tersebut tertumpu kepada kelulusan projek di sebuah Wilayah Persekutuan, termasuk pembinaan papan iklan serta pemindahan sebidang tanah milik kerajaan kepada sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka.
“SPRM hanya menerima maklumat baharu pada akhir bulan lalu, sekali gus mendorong pembukaan siasatan terhadap kes berkenaan,” memetik laporan NST.
Siasatan awal sedang meneliti hubungan antara bekas menteri terbabit dengan syarikat-syarikat yang dikaitkan, dengan jumlah wang yang disyaki terlibat dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
“SPRM kini dalam proses mendapatkan dokumen berkaitan dan akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Sumber itu berkata, kes berkenaan melibatkan kepentingan awam, justeru siasatan diteruskan bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Menurutnya lagi, selain menegakkan keadilan, SPRM turut melihat potensi untuk memulihkan kerugian akibat ketirisan aset dan dana awam sekiranya wujud elemen salah guna kuasa.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut.
“Siasatan dimulakan sebaik sahaja kami menerima maklumat baharu. Beberapa individu yang berkepentingan akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







