27 termasuk 18 pegawai penguat kuasa direman terlibat sindiket ‘Counter Setting’
KUALA LUMPUR – Seramai 27 individu termasuk 18 pegawai penguat kuasa direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terbabit dalam sindiket counter setting bagi melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur sah.
Menurut sumber, semua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia 20 hingga 50-an ditahan menerusi operasi khas Op Rentas di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan semalam.
“Keseluruhan 30 individu ditahan, dengan 27 daripadanya direman hari ini. Mereka dipercayai terbabit memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan memudahkan kemasukan warga asing,” katanya.
Tambahnya, SPRM turut menyita wang tunai melebihi RM200,000, beberapa barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan berjenama, jam tangan serta peranti telekomunikasi.
Sebanyak 40 akaun bank melibatkan 34 akaun individu dan enam syarikat dengan nilai lebih RM1 juta juga dibekukan.
Kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Ayer Keroh, Seremban dan Kuala Lumpur pagi tadi.
Di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan 13 individu membabitkan empat pegawai penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam lain direman selama tiga hari sehingga 12 September ini.
Di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, Majistret Uthman Abd Ghani membenarkan tiga pegawai penguat kuasa direman empat hari sehingga 13 September ini serta dua lagi direman lima hari sehingga 14 September ini.
Di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pula, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan lapan pegawai penguat kuasa direman tujuh hari sehingga 16 September ini.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Majistret S Arunjothy membenarkan seorang pegawai penguat kuasa direman lima hari sehingga 14 September ini.
Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








