SPRM tolak dakwaan berniat jahat, tegas komited pertahan proses undang-undang
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak sekeras-kerasnya tohmahan dan dakwaan tidak berasas yang diterbitkan sebuah media antarabangsa, yang didakwa berniat jahat untuk mencemarkan nama baik serta reputasi suruhanjaya itu.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, pihaknya tidak akan mengulas dakwaan bersifat spekulatif dan berunsur tohmahan, khususnya melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Menurut kenyataan itu, sebarang andaian bahawa siasatan yang dijalankan dipengaruhi kepentingan peribadi adalah tidak berasas dan ditolak sama sekali.
“Semua siasatan dilaksanakan secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan bukti serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” menurut kenyataan tersebut.
SPRM turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara serta kuasa kehakiman, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi teras sistem perundangan negara.
Sebagai agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM adalah berlandaskan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan tertakluk kepada pemantauan lima badan bebas.
Tegas kenyataan itu lagi, sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya perlu dinilai menerusi sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan.
SPRM turut menggesa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku agar menyalurkan maklumat melalui saluran sewajarnya bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang.
Terdahulu media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada agensi berita antarabangsa, Bloomberg susulan laporan yang disifatkannya ‘mengelirukan’ dan ‘berunsur fitnah’ berhubung urus niaga saham lamanya dalam Velocity Capital Bhd.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















