BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia nafi serbu masjid, tegas dakwaan tidak benar

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pasukan elit agensi itu melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menegaskan, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan negara serta menjatuhkan moral operator pasukan elit itu sendiri.

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, latihan yang dijalankan pada tarikh berkenaan hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) di bawah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE).

Jelasnya, latihan tersebut bertujuan membentuk daya tahan, disiplin serta kebijaksanaan anggota ketika berinteraksi dengan masyarakat sewaktu melaksanakan misi penyamaran.

Kenyataan media oleh Maritim Malaysia hari ini.

Tambahnya lagi, masjid berkenaan hanya dijadikan lokasi beriktikaf dan berehat oleh para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum meneruskan tugasan seterusnya.

“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan, tiada sebarang elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar dilakukan, sebaliknya para pelatih hanya menunaikan ibadah di masjid tersebut.

“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Justeru, Mohd Rosli menegaskan, dakwaan berkenaan merupakan satu fitnah berniat jahat terhadap Maritim Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button