JENAYAH & MAHKAMAH

Pergaduhan depan masjid dalam bulan puasa: Polis tahan sembilan lelaki

MELAKA – Polis menahan sembilan lelaki termasuk seorang pelajar sekolah bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di hadapan Masjid Ar-Rabbani, Tangga Batu, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Tangga Batu pada hari kejadian.

Menurutnya, pelajar terbabit direman sehari manakala lapan lagi suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu termasuk topi keledar serta motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah semalam.

Beliau berkata, pihak polis sebelum itu telah menjalankan operasi di kawasan terbabit bagi membanteras kegiatan samseng jalanan, namun kumpulan penunggang motosikal itu dikesan masih berkumpul di lokasi berkenaan.

Menurutnya, tindakan mereka seolah-olah mencabar pihak polis untuk mengambil tindakan.

“Memang kali ini agak kurang ajar kerana kejadian berlaku di hadapan masjid dalam bulan puasa.

“Kita tidak akan memberi muka kepada kumpulan ini dan akan memastikan mereka dikenakan hukuman setimpal,” katanya lagi.

Sebelum itu media melaporkan seorang buruh binaan cedera selepas dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian rusuhan di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani, Tangga Batu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun didakwa ditegur seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan menuduhnya menjadi punca adiknya ditangkap polis dalam kes kecurian motosikal.

Siasatan awal mendapati suspek bersama beberapa rakannya dipercayai mengepung mangsa sebelum menyerangnya menggunakan topi keledar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button