MCMC, PDRM kerjasama kesan penjenayah hantar ugutan siber – Fahmi
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah supaya bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar ugutan siber berunsur pornografi kepada beberapa ahli politik, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut menjadi salah seorang mangsa ugutan berkenaan berkata, Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.
BACA JUGA:
Rafizi dakwa jadi mangsa ugutan video lucah palsu sebanyak RM420,500
Ahli Parlimen Sungai Petani jadi mangsa ugutan siber berunsur pornografi AI
E-mel ugutan terhadap ahli politik, PDRM mohon bantuan MCMC
ADUN Kota Anggerik turut jadi mangsa pemerasan siber
“Segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.
Menurut Fahmi, antara ahli politik yang menerima ugutan berkenaan termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Dr. Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani), Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Najwan Halimi (Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor), Senator Manolan Mohamad, Wong Chia Zen (ADUN Kulim), Dr Fahmi Ngah (Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor) dan beliau sendiri.
Jelas beliau, emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan itu turut mengandungi ugutan untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima tidak membuat bayaran sebanyak AS$100,000.
“Hasil semakan mendapati emel berkenaan menggunakan ayat yang hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama melalui aplikasi Gmail,” katanya lagi.
Fahmi turut menegaskan, penghantaran komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua (2) tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













