BERITA SEMASA

Tafsir sendiri al-Quran: Siasatan terhadap Howard Lee akan dilakukan Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berhubung kes membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran akan diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Bukit Aman.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan kes itu akan dilakukan oleh Bukit Aman kerana laporan pertama mengenai dakwaan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan hanya satu dibuat di Perak.

Beliau berkata, setakat ini polis Perak hanya menerima satu laporan yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO), kelmarin yang mahu siasatan dan tindakan dikenakan terhadap Howard Lee kerana dianggap menghina Islam apabila membuat tafsiran sendiri ayat suci al-Quran.

“Kita hanya menerima satu laporan berhubung kes ini dan kita rujuk kepada laporan asal yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak. Kes ini juga disiasat oleh pihak USJT Bukit Aman,” katanya.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak menyifatkan tindakan Howard sebagai kurang ajar dan cuba mencetuskan provokasi apabila membuat tafsiran ayat 59 surah An-Nisa dengan niat memutar belitkan maksudnya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan mentafsir al-Quran secara sewenang-wenang seolah-olah mempermainkan kalam Allah dan tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau berkata, pelakunya boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam.

Katanya, sudah tentu bukan setiap individu mampu menyelami maksud yang terkandung di dalam al-Quran dan sudah sedia maklum bahawa setiap bidang ilmu ada ahli khusus di dalamnya.

Wan Salim berkata, bagi melayakkan diri menjadi ahli di dalam bidang tafsir al-Quran, seseorang perlu menghabiskan masa yang lama, mungkin sepanjang hayat diperlukan untuk menguasai beberapa bidang ilmu berkaitan dengan kitab suci termasuk keperluan menguasai selok belok Bahasa Arab daripada aspek nahu, saraf, balaghah dan ‘arudhnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button