BERITA SEMASA

Kos taja Fan Bingbing sebagai duta pelancongan hampir RM500,000

MELAKA – Kos tajaan bagi melantik bintang antarabangsa, Fan Bingbing, sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) mencapai jumlah keseluruhan sebanyak RM498,347.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, beliau menjelaskan kerajaan negeri hanya membelanjakan RM77,850 atau 16 peratus daripada jumlah tersebut manakala, baki RM420,497 ditanggung oleh beberapa syarikat swasta lain.

“Kos RM77,850 itu meliputi kos promosi dan penganjuran program di Melaka.

“Sementara itu, kos yang ditaja oleh syarikat swasta meliputi penerbangan, penginapan, pengangkutan, kos perkhidmatan profesional, dan pemetaan projektor di Encore Melaka,” katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang ingin mengetahui kos yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dalam melantik Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka.

Abdul Razak berkata, laporan lengkap akan dibentangkan selepas kempen TMM2024 berakhir pada 31 Disember ini, bagi menjawab soalan tambahan Dr Mohd Aleef mengenai pulangan yang diterima oleh kerajaan negeri.

“Antara pulangan yang dapat dilihat secara tidak langsung ialah dari segi carian menerusi media sosial Fan Bingbing yang mempunyai 26 juta pengikut.

“Hampir 1.2 bilion carian mengenai Fan Bingbing dilakukan sepanjang tiga hari beliau berada di Melaka, dengan carian khusus untuk Melaka mencecah 445 juta.

“Ini merupakan pulangan yang tinggi kepada kerajaan negeri dengan kos yang rendah,” jelas beliau.

Beliau turut menambah Melaka akan menerima enam penerbangan antarabangsa sehari dari China pada bulan September dan Oktober depan, yang dijangka akan meningkatkan jumlah pelancong ke negeri tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button