NADI MCMC dinobat Juara Perkhidmatan Terbaik pada Program MADANI Rakyat Melaka
MERLIMAU – Pusat Sehenti Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila dinobat sebagai Juara Perkhidmatan Terbaik dalam Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka 2025 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MCMC dalam kenyataan di media sosial berkata, pengiktirafan itu melambangkan kejayaan usaha berterusan MCMC melalui inisiatif NADI dalam mendekati rakyat di seluruh negara dengan pendekatan kreatif serta aktiviti interaktif berasaskan teknologi digital.
“Antara tarikan utama di reruai NADI termasuk pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik dan STEM melalui modul Tiny Techies serta pemeriksaan kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Golongan belia turut tidak ketinggalan menunjukkan penyertaan aktif melalui Kempen Internet Selamat (KIS) dan pertandingan e-Sukan NADI MADANI seperti Mobile Legends dan e-Football,” katanya.
Dalam masa sama, Perkhidmatan Pintar NADI terus menjadi tumpuan dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan bagi memperkukuh kemahiran digital serta ekonomi masyarakat.

Bermula di Tawau, Sabah, siri PMR 2025 telah menjelajah ke sembilan lokasi seluruh negara, dengan setiap edisi menampilkan aktiviti unik bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Sepanjang siri PMR tahun ini, lebih 10,000 ahli baharu telah mendaftar dengan NADI manakala 15,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti interaktif di reruai NADI di seluruh negara.
“Kejayaan itu membuktikan sambutan menggalakkan rakyat terhadap usaha berterusan MCMC melalui NADI dalam memperkasakan komuniti dengan kemahiran digital dan akses teknologi, selaras dengan matlamat merapatkan jurang digital serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat,” katanya.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zainuddin Mohd Noor kepada Ketua Pejabat NADI MCMC, Mohd Arif Adenan.
Lebih membanggakan, kejayaan ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila inisiatif NADI diumum sebagai pemenang kategori Capacity Building dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 yang berlangsung di Geneva, Julai lalu.
Pengiktirafan itu menobatkan NADI Pulau Banggi, Sabah sebagai contoh terbaik pusat maklumat komuniti yang berjaya memperkasa penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital.
Kini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan keahlian melebihi 1.8 juta orang melalui
Inisiatif 1 DUN 1 NADI yang digerakkan bagi memperluas capaian maklumat serta memperkasa komuniti digital di setiap kawasan seluruh Malaysia.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








