BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Program Santuni MADANI tingkat potensi kampung, keupayaan komuniti Melaka

MELAKA – Program Santuni MADANI Peringkat Negeri Melaka di Bukit Katil semalam menjadi platform memperkasakan potensi kampung serta keupayaan masyarakat melalui pemantauan dan libat urus secara langsung antara Kementerian Pertahanan (MINDEF), agensi kerajaan negeri dan komuniti setempat.

Program yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari itu dilaksanakan selaras dengan garis panduan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

MINDEF Madani
Adly berucap ketika merasmikan program tersebut.

Ia turut menekankan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek ilmu dan kerohanian, kebajikan, kesejahteraan, riadah, sosial, keusahawanan, kesihatan dan kesukarelawan.

Antara pengisian program termasuk solat Subuh berjemaah dan kuliah Subuh anjuran Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di Masjid Raudatul Jannah, Kampung Bukit Bayan.

Majlis kemudian diteruskan dengan sukan paintball, pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma dan demonstrasi penjagaan gigi oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK-ATM).

Turut diadakan ialah reruai pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri, pameran kerjaya, Jualan Rahmah serta kaunter bergerak Timbalan Menteri Pertahanan Bertemu Rakyat bagi memudahkan urusan penduduk setempat.

Dalam majlis sama, Adly turut menyampaikan cek kepada seorang penerima manfaat Baik Pulih Rumah serta empat penerima Geran Program Sejati MADANI di bawah inisiatif kerajaan Negeri Melaka.

Beliau juga menyerahkan Bakul Rahmah kepada persatuan veteran ATM dan wakil masyarakat setempat.

Sementara itu, di Pasaraya Mydin Pulau Sebang, turut berlangsung Pertandingan Piala Esport Generasi ATM (Gen ATM) 2025 – PUBG Mobile yang melibatkan penyertaan belia Melaka serta dua sekolah dalam kem iaitu SMK Pangkalan TLDM, Lumut dan SMK Kem Terendak, Melaka.

“Pertandingan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda tentang etika dan kemahiran industri sukan elektronik.

“Di samping itu, ia juga memperluaskan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, sekolah dan pihak swasta bagi menyumbang kepada kesejahteraan pendidikan anak-anak anggota ATM serta pelajar sekolah awam,” menurut kenyataan MINDEF.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron; Pegawai Memerintah 94 Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Brigedier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel (Bersara) Azwadi Jamian; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Sophian Isswandy Ismail; pegawai kanan ATM serta pimpinan masyarakat tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button