BERITA SEMASADALAM NEGERI

Malaysia, Afrika Selatan perkukuh kerjasama pertahanan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Afrika Selatan sepakat memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pertahanan menerusi beberapa inisiatif baharu yang dipersetujui sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung di ibu negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dimuktamadkan hasil Kunjungan Hormat Menteri Pertahanan dan Veteran Tentera Republik Afrika Selatan, Angie Motshekga ke Wisma Pertahanan hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, pertemuan tersebut melanjutkan hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang diadakan pada 25 Oktober lalu di Putrajaya.

“Malaysia dan Afrika Selatan bersetuju memuktamadkan pindaan Memorandum Persefahaman (MoU) Pertahanan 1996 melalui satu Protokol baharu yang dijangka dimeterai di Pretoria tidak lama lagi.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju mengaktifkan semula Mesyuarat Jawatankuasa Pertahanan (DEFCOM) yang kali terakhir diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2005,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua negara turut bersepakat memperluas kerjasama ketenteraan, latihan dan kursus bersama, selain meneroka potensi dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan, termasuk pendekatan Government-to-Government (G2G) bagi perolehan aset strategik.

“Malaysia kekal komited memperkukuh jaringan pertahanan antarabangsa yang berasaskan keamanan, kepercayaan dan manfaat bersama,” jelasnya.

Lawatan rasmi Angie Motshekga itu melambangkan hubungan kukuh antara Malaysia dan Afrika Selatan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama pertahanan dua negara yang menjangkau hampir tiga dekad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button