Lawatan PM ke Afrika Selatan perkukuh kerjasama halal global — Menteri Agama
KUALA LUMPUR – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika Selatan sempena Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg dari 20 hingga 23 November 2025 dilihat membuka lembaran baharu dalam memperkukuh jaringan halal global dan kerjasama strategik Malaysia–Afrika Selatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, lawatan tersebut turut merangkumi sesi libat urus Perdana Menteri bersama pimpinan Islam Afrika Selatan yang menjadi medan penting membincangkan usaha memperkukuh pembangunan ummah di peringkat antarabangsa.
“Hubungan Malaysia dan Afrika Selatan dalam bidang halal telah lama terjalin menerusi pengiktirafan tiga badan pensijilan halal luar negara oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu National Independent Halaal Trust (NIHT) di Johannesburg, South African National Halaal Authority (SANHA) di Kwazulu Natal serta Muslim Judicial Council Halaal Trust (MJCHT) di Cape Town.
“Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas jaminan halal di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Na’im, JAKIM melalui agensi hal ehwal agama kekal komited berkongsi kepakaran dan menyediakan sokongan berterusan melalui perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran demi memastikan kelestarian ekosistem halal dunia.
“Usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memantapkan rangkaian halal antarabangsa serta memperkukuh daya saing industri halal global,” ujarnya.

Beliau yakin lawatan Perdana Menteri ke Afrika Selatan mampu merancakkan lagi kerjasama dua negara terutamanya dalam pengurusan halal, pembangunan kapasiti serta inovasi industri.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global, malah menyokong agenda pengukuhan ekosistem halal dunia secara lebih mampan dan inklusif,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







