Malaysia pacu pelaburan strategik bersama GCC dan China
KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh peranannya sebagai hab pelaburan strategik serantau menerusi penglibatan aktif dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memacu diplomasi ekonomi yang inklusif dan berdaya saing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memanfaatkan peluang itu mengetuai beberapa pertemuan strategik yang penting, termasuk sesi libat urus bersama pelabur utama dari China dan negara-negara Teluk.
“Tumpuan utama sidang ialah pertemuan dua hala bersama delegasi China yang diwakili GIIHG dan CCPIT, serta rundingan strategik bersama pelabur utama dari UAE dan Qatar termasuk ADIA dan Dewan Perniagaan dan Industri Qatar.
“Ini menjadi medan untuk mempamerkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh diplomasi ekonomi yang inklusif, progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada sektor strategik seperti logistik, pembangunan halal, kecerdasan buatan (AI), automotif serta tenaga hijau yang dilihat berpotensi besar untuk dikembangkan secara bersama di rantau itu.
“Saya juga telah mempengerusikan sesi libat urus antara delegasi kerajaan dan komuniti perniagaan dari Arab Saudi dan China bagi membincangkan peluasan pelaburan dua hala.
“Malaysia dilihat bersedia menjadi pintu masuk utama kepada syarikat-syarikat GCC dan China yang ingin menembusi pasaran ASEAN,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil, dasar yang mesra pelabur serta hala tuju ekonomi yang jelas, mampan dan menyeluruh.
“Keyakinan tinggi para pelabur antarabangsa terhadap ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk dengan gabungan KDNK melebihi AS$3.6 trilion membuktikan rantau ini adalah antara pasaran paling strategik dan pesat berkembang di dunia,” tambahnya.
Beliau yakin hubungan erat yang diperkukuh menerusi sidang itu mampu menjadi pemangkin kepada penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan pelaburan bernilai tinggi dan peluasan jaringan perdagangan serantau serta global.
“Insya-Allah, hasil kerjasama yang terjalin ini akan menyumbang secara langsung ke arah masa depan ekonomi Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab strategik utama ASEAN,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








