BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tidak puas hati tempat duduk dalam pesawat, pelancong China buat ugutan bom

TAWAU – Gara-gara tidak berpuas hati dengan isu pertukaran tempat duduk, dua pelancong China menghantar e-mel ugutan mendakwa terdapat bom dalam pesawat sebuah syarikat penerbangan.

Suspek wanita berusia 28 tahun dan lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan terlebih dahulu menghubungi ejen pelancongan untuk menukar tempat duduk penerbangan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Mereka kemudian menghantar e-mel ke ibu pejabat syarikat penerbangan di Kuala Lumpur dengan mendakwa terdapat bom dalam pesawat yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada kakitangan syarikat penerbangan terbabit pada jam 3 petang, semalam.

“Susulan laporan itu, polis menahan pasangan terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Jasmin berkata, perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek sehingga 27 September ini dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan, pasangan pelancong terbabit baru bercuti di Semporna dan dijadualkan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button