JENAYAH & MAHKAMAH

Pelancong wanita Jerman mengaku tendang polis, didenda RM3,000

GEORGE TOWN – Seorang pelancong wanita warga Jerman didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis, Januari lalu.

Tertuduh, Schlefsky Theresa, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didapati menendang perut seorang anggota polis wanita dengan niat menghalang mangsa daripada menjalankan tugas secara sah.

Kejadian itu berlaku di sebuah kedai kopi di daerah Timur Laut kira-kira jam 6.30 petang pada 14 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili peguam, K Sagana.

Dalam rayuannya, pihak pembelaan memaklumkan tertuduh mempunyai sejarah penyakit Skizofrenia sejak usia 16 tahun dan perlu mengambil ubat secara berkala.

Menurut peguamnya, tindakan tertuduh pada hari kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan mengambil ubat secara konsisten.

“Selepas keadaannya stabil, tertuduh sangat menyesal dan telah memohon maaf kepada mangsa serta pihak berkuasa. Dia juga tidak berniat melanggar undang-undang negara ini,” memetik Buletin TV3 online.

Peguam turut memaklumkan bapa dan kakak tertuduh hadir ke mahkamah bagi memohon maaf atas perbuatan tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Tertuduh telah menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Kes berkenaan menimbulkan peringatan bahawa pelancong asing perlu mematuhi undang-undang tempatan, selain aspek kesihatan mental turut diambil kira dalam pertimbangan hukuman oleh mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button