70 maut dalam banjir, tanah runtuh di wilayah sempadan India-Nepal
NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 56 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat serta ribut yang melanda Uttar Pradesh, India, dalam tempoh tiga hari.
Pegawai bantuan bencana Uttar Pradesh berkata, negeri itu menerima taburan hujan 66.5 milimeter antara 25 September hingga pagi 27 September, jauh melebihi purata 7.6 milimeter bagi tempoh sama.
“Lebih 1,000 rumah dilaporkan rosak, manakala 46 lagi cedera. Operasi menyelamat dan pengagihan bantuan sedang dijalankan di kawasan yang dinaiki air, selain penilaian kerosakan tanaman dilakukan,” lapor media tempatan.
Sementara itu di negara jiran, Nepal turut berdepan gelombang banjir dan tanah runtuh baharu selepas hujan berterusan sejak 24 September.
Sekurang-kurangnya 14 orang maut dan 11 lagi dilaporkan hilang dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh.
Pihak berkuasa Nepal memberi amaran risiko banjir kilat di 49 daripada 77 daerah apabila paras sungai utama terus meningkat.
Beberapa kawasan turut mengalami gangguan bekalan elektrik dan kerosakan infrastruktur hidroelektrik.
Bencana terbaharu itu berlaku ketika Nepal masih berdepan kesan banjir besar pada Ogos lalu yang mengorbankan lebih 1,400 nyawa dan menyebabkan ribuan orang masih belum ditemui.
Selain banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan Manang akibat hujan lebat, kawasan Himlung Himal turut dilanda salji runtuh yang menimbus tapak base camp dan menyebabkan beberapa pendaki serta kru sokongan dilaporkan hilang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








