Stok mercun tidak habis musim perayaan lalu, lelaki ditahan polis
KUANTAN – Gara-gara stok mercun tidak habis dijual pada musim perayaan yang lalu, seorang lelaki berusia 40-an ditahan selepas polis merampas 49 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM86,700 dalam serbuan di sebuah stor di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Temerloh, malam tadi.
Serbuan Op Taring Charlie kira-kira pukul 8 malam itu dilakukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan disimpan di stor berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai mendapatkan bekalan mercun dari Triang, Bera sebelum menyewa stor berkenaan pada kadar RM500 sebulan.
“Mercun yang disimpan di stor itu dipercayai tidak habis dijual pada musim perayaan lalu.
“Susulan kes ini, risikan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras segala aktiviti penjualan mercun tanpa lesen,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








