JENAYAH & MAHKAMAH

Stor kayu disyaki proses kayu tanpa cukai diserbu, rampasan lebih RM600,000

TANAH MERAH – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menyerbu sebuah stor kayu di Kampung Bukit Kechik di sini selepas disyaki memiliki dan memproses kayu tanpa cukai yang sah dalam operasi yang dijalankan semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu mendapati empat lelaki tempatan sedang bekerja di premis berkenaan termasuk pemilik stor berusia 60 tahun.

Menurut beliau, pasukan PGA telah meminta pemilik premis mengemukakan lesen operasi serta dokumen berkaitan sumber dan pemilikan kayu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan.

“Pemilik premis mengemukakan lesen pengoperasian stor, namun gagal mengemukakan dokumen cukai pemilikan kayu yang sah.

“Susulan itu, pihak Jabatan Perhutanan Jajahan Kelantan dihubungi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Radzi berkata, hasil pemeriksaan turut menemukan empat mesin pemprosesan kayu serta 4,114 batang kayu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM602,100.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
Menurutnya, pemilik stor mengaku mendapatkan bekalan kayu daripada pekebun di sekitar Tanah Merah dan menjalankan urusan berkenaan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Stor ini telah beroperasi selama 15 tahun dan digunakan untuk memproses kayu dengan menggaji tiga pekerja tempatan.

“Kayu yang siap diproses dihantar ke kilang di Kuantan, Pahang dan Muar, Johor,” katanya lagi.

Tambah beliau, premis berkenaan disewa daripada seorang wanita dengan kadar RM1,000 sebulan sejak 15 tahun lalu.

“Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Negeri Kelantan untuk proses sitaan dan tindakan lanjut, manakala jumlah saman atau kompaun hanya akan ditentukan selepas proses dokumentasi selesai,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button