JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki diupah RM80 seludup makanan sejuk beku Thailand ditahan PGA

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan makanan sejuk beku di kawasan sempadan negara apabila seorang lelaki ditahan dalam serbuan di Pengkalan Haram Yasin, Lubok Gong, malam tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 32 tahun yang dipercayai menerima upah RM80 bagi setiap penghantaran itu ditahan kira-kira pukul 9 malam.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan selepas anggota PGA mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan pengkalan haram berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek membawa kepada penemuan 135 peket sosej sejuk beku bertulisan Thailand di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

“Semasa serbuan dijalankan, beberapa lelaki lain bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA, namun pemandu kereta berjaya ditahan.

“Pasukan operasi sebelum itu melihat beberapa individu memunggah barangan dari sebuah perahu ke dalam kereta terbabit di kawasan pengkalan haram berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta yang digunakan dalam kegiatan itu dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,700.

Bekiau berkata, suspek dipercayai telah aktif menjalankan aktiviti penyeludupan makanan sejuk beku sejak beberapa tahun lalu menggunakan kenderaan milik ibunya.

“Semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam di Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button