Pengedar dadah gagal lolos, ditahan selepas rempuh dua kenderaan PGA
PASIR MAS – Cubaan seorang pengedar dadah meloloskan diri daripada ditahan berakhir kegagalan apabila dia dicekup selepas bertindak merempuh dua kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kejadian di Kampung Semuba Chetok di sini, semalam.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang selepas dikejar anggota PGA sejauh 1.5 kilometer susulan tindakannya melarikan diri menggunakan sebuah Perodua Myvi.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku ketika anggota PGA menjalankan Ops Taring Wawasan Kelantan selepas menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah.
Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah sebelum dua kenderaan PGA bertindak menghalang laluan di hadapan dan belakang kenderaan itu serta mengarahkan pemandunya keluar.
“Bagaimanapun, suspek bertindak memintas salah sebuah kenderaan PGA sebelum memecut laju menghala ke Tanah Merah.
“Anggota kemudian mengejar suspek sejauh 1.5 kilometer sebelum dia membelok masuk ke Jalan Kampung Semuba Chetok,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, ketika cuba meloloskan diri, kereta dipandu suspek merempuh sebuah kenderaan PGA yang datang dari arah hadapan sebelum mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar sebuah lagi kenderaan pasukan.
Katanya, suspek kemudian keluar dari kereta dan cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dengan anggota PGA.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg silang dipakai suspek menemukan 53 biji pil kuda dan sebiji pil epam yang dianggarkan bernilai RM540, selain sebuah telefon bimbit serta wang tunai RM375.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang lelaki di Kampung Limbat, Kota Bharu,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, suspek mengaku merempuh kedua-dua kenderaan PGA kerana terdesak untuk melarikan diri, namun tiada kerosakan dilaporkan pada kenderaan pasukan terbabit.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Binjai Kangkong, Pasir Mas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








