BERITA SEMASA

Warga emas uzur dikurung dalam bilik berlantaikan tanah: Aktivis doakan anak, cucu derhaka bertaubat

PASIR MAS – Kisah seorang warga emas dikenali sebagai Pak Mail yang dipercayai dianiaya dan diabaikan oleh ahli keluarganya sendiri mengundang perhatian ramai selepas didedahkan oleh aktivis kebajikan, Abbe Hae.

Menurut Abbe, Pak Mail ditemui dalam keadaan uzur, tidak bermaya dan terlalu kurus, dikurung di dalam sebuah bilik berlantaikan tanah di sebuah rumah yang kotor serta dipenuhi sampah.

Pendedahan itu dikongsikan Abbe Hae menerusi media sosial miliknya hari ini sambil menyifatkan keadaan tersebut sebagai menyayat hati dan tidak berperikemanusiaan.

Abbe yang pada awalnya berada di Kelantan atas urusan lain berkata, beliau dimaklumkan mengenai kes berkenaan oleh penduduk kampung yang sudah lama bimbang dengan keadaan Pak Mail.

“Penduduk kampung telah bersepakat dan mewakilkan seseorang untuk menghubungi saya melalui mesej di Messenger kerana mereka sendiri tidak mampu membantu,” katanya.

Menurut Abbe, usaha penduduk kampung untuk membantu warga emas berkenaan sebelum ini terhalang kerana ditegah oleh individu tertentu dalam keluarga Pak Mail.

Selepas selesai menghadiri mesyuarat bersama beberapa agensi kerajaan negeri Kelantan semalam, Abbe segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, rumah tersebut berkunci dari luar sebelum dibuka oleh seorang wanita dewasa yang mengaku sebagai cucu Pak Mail,” katanya.

Beliau mendakwa pintu luar rumah serta kawasan dapur yang menjadi tempat Pak Mail ditempatkan turut dikunci, kononnya bagi menghalang warga emas itu daripada keluar dan merayau.

“Alasan yang diberikan adalah kerana Pak Mail sudah nyanyuk. Namun, alasan ini sukar diterima apabila seseorang dikurung dalam keadaan yang begitu daif,” katanya.

Hasil siasatan Abbe mendapati, Pak Mail sebelum ini dikenali sebagai seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab, malah menjaga anak serta cucunya dengan penuh kasih sayang.

Pak Mail Abbe Hae
Antara komen netizen mengenai kes Pak Mail di media sosial Abbe Hae.

“Walaupun beliau sudah uzur dan kadangkala keliru, beliau tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa. Ini bukan cara melayan manusia. Bahkan binatang pun tidak wajar diperlakukan seperti ini,” katanya.

Dalam video berkenaan juga, Abbe Hae menjelaskan bahawa dia telah membawa warga emas itu ke hospital.

Bagaimanapun, sekitar pukul 10 malam semalam, dia dihubungi oleh seorang doktor yang memaklumkan waris Pak Mail (anak) ingin mengambil warga emas itu pulang.

Menurut Abbe, individu itu berkata, dia akan menjaga bapanya elok-elok selain sudah mengemaskan bilik untuk warga emas tersebut.

“Dia akan tempatkan bapanya di bilik anak perempuannya dan anak perempuanya akan ditempatkan di bilik lain.

“Pak Mail sepatutnya pagi ini Abbe hantarkan ke rumah penjagaan warga tua swasta di sekitar Kota Bharu,” tulisnya.

Sementara itu, Abbe turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap waris terlibat dan mendoakan agar mereka diberi keinsafan.

“Semoga anak dan cucu yang derhaka ini bertaubat. Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap perbuatan terhadap bapa dan datuk kalian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button