BERITA SEMASA

Kerajaan negeri Johor umum esok Hari Cuti Peristiwa

CYBERJAYA – Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan esok, hari Isnin sebagai Hari Cuti Peristiwa.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi setelah mendapat limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.

“Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16,” kata dalam hantaran di Facebook, petang tadi.

Dalam hantaran sama, Onn Hafiz turut menyatakan akan terus melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan Baginda terhadap lantikan patik sebagai Menteri Besar Johor.

“Patik juga dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepada patik untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.

“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor.

“Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini,” tambahnya.

Beliau turut memohon doa daripada seluruh Bangsa Johor supaya Allah SWT terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan.

Selain berharap setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti serta setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button