BERITA SEMASADALAM NEGERI

PERWATAM gesa kerajaan tangguh Cermat MADANI, mahu libat urus diperkukuh

PUTRAJAYA – Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) menggesa kerajaan mempertimbang penangguhan pelaksanaan Inisiatif Cermat Madani sehingga beberapa perkara berkaitan tadbir urus, persaingan industri, keselamatan data dan perlindungan pengguna diperjelaskan.

Presidennya, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan mempertingkatkan keselamatan jalan raya melalui pendigitalan, namun mengesyorkan pelaksanaan dasar itu disertai proses libat urus yang lebih menyeluruh.

Menurut beliau, PERWATAM yang mempunyai lebih 900 ahli turut mewakili lebih 15,000 wakil takaful am dan ejen insurans di seluruh negara akan bekerjasama dengan beberapa persatuan lain bagi mengemukakan pandangan kepada kerajaan.

“Kami tidak menolak inisiatif kerajaan, sebaliknya berharap beberapa perkara dapat diperhalusi supaya pelaksanaannya lebih seimbang dan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan selepas sidang media di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan ialah pelaksanaan pembaharuan insurans dan takaful menerusi aplikasi MyJPJ yang menurutnya perlu dipastikan tidak menimbulkan persepsi layanan tidak seimbang kepada mana-mana pihak dalam industri.

Khairi Anuar Ahmad
Khairi Anuar Ahmad

Khairi Anuar turut menjelaskan khidmat ejen masih penting kerana pengguna memerlukan nasihat profesional, bantuan tuntutan, pindaan polisi serta sokongan ketika berdepan kemalangan atau kecemasan.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga dijangka memberi kesan kepada pendapatan ejen sekiranya pengguna beralih kepada platform digital yang menawarkan promosi tertentu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PERWATAM, Khidir Zulkifli berkata, mekanisme penyelesaian pertikaian dalam platform MyJPJ perlu diperjelaskan supaya pengguna mengetahui saluran yang perlu dirujuk sekiranya berlaku sebarang masalah.

Manakala Bendahari Agung PERWATAM, Muhammad Syameem Ahmad pula berharap aspek keselamatan data diberi perhatian serius, termasuk kawalan akses, audit berkala dan pemantauan yang rapi dalam sebarang kerjasama melibatkan perkongsian data.

Bagi Exco Media dan Digital PERWATAM, Laiyyinah Abdul Muthalib, persatuan itu menyokong pendigitalan perkhidmatan kerajaan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kepentingan semua pemain industri melalui proses libat urus yang menyeluruh.

Khairi Anuar berkata, PERWATAM turut memohon mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi membincangkan perkara berkenaan serta mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan Cermat Madani.

Katanya, matlamat utama persatuan itu adalah memastikan ekosistem insurans dan takaful terus berkembang secara adil, dengan urusan perlindungan kekal dikendalikan oleh ejen bertauliah demi kepentingan pengguna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button