POLITIK

PRN Melaka: Tindakan MCA keluar majlis calon BN cetus persoalan kerjasama politik

KUALA LUMPUR – Tindakan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semalam mencetuskan persoalan mengenai hubungan antara parti komponen gabungan itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Chang Lih Kang berkata, insiden berkenaan menimbulkan persoalan sama ada kerjasama politik BN dengan parti lain berasaskan prinsip dan kepercayaan atau kepentingan politik semata-mata.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tindakan MCA itu turut menimbulkan keraguan mengenai kedudukan parti komponen dalam gabungan berkenaan.

“Jika MCA, rakan komponen BN sejak sekian lama pun merasakan mereka tidak dihormati, bagaimana pula dengan parti-parti lain yang menjalin kerjasama dengan BN?

“Adakah kerjasama tersebut berlandaskan prinsip dan kepercayaan atau sekadar kepentingan politik dan kuasa?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean, mendakwa insiden berkenaan mencerminkan corak layanan UMNO terhadap rakan komponennya.

Beliau berkata pendekatan Pakatan Harapan (PH) berbeza kerana PKR sebagai parti pengasas gabungan itu tidak mengamalkan pendekatan dominasi atau mengetepikan parti lain.

Ker Chean turut menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pemimpin yang mengamalkan pendekatan perundingan dan inklusif, termasuk dalam hubungan dengan parti lebih kecil seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin, mendakwa MCA mula menyedari kedudukan mereka dalam BN susulan isu pengumuman calon berkenaan.

Beliau turut mendakwa UMNO lebih menumpukan kemungkinan memperoleh keuntungan politik jangka pendek menerusi kerjasama dengan PAS sehingga mengabaikan kepentingan MCA dan MIC.

Menurutnya, keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan suara dan kepentingan masyarakat minoriti sekiranya UMNO dan PAS membentuk kerajaan gabungan.

Beliau berkata MCA dan MIC secara keseluruhannya hanya mempunyai tiga kerusi di Dewan Rakyat dan tidak memegang jawatan menteri.

Terdahulu, MCA memaklumkan tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dilaporkan berkata pengumuman calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu didakwa diberikan kepada parti lain.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata isu ketidakpuasan hati MCA berhubung pengumuman calon berkenaan akan dibincangkan dan diselesaikan secara bersama sebelum 31 Oktober ini.

Kontroversi itu tercetus apabila Ka Siong bersama barisan kepimpinan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN bagi PRN Melaka ke-16 malam tadi, sebelum ucaptama Ahmad Zahid dan pengumuman calon berlangsung.

MCA kemudian mengadakan sidang media di luar dewan bagi menjelaskan pendirian parti berhubung isu berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button