DAPSY cabar MCA guna logo sendiri, tanding kerusi tradisi
MELAKA – MCA dicabar menggunakan logo parti sendiri dan bertanding di kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya benar-benar mahu mempertahankan maruah politik seperti dikatakan presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Setiausaha DAPSY, Lim Chun Weng berkata, MCA perlu membuktikan keberanian politik dengan mengambil tindakan sewajarnya dan bukannya sekadar menunjukkan bantahan terhadap keputusan pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, tindakan kepimpinan MCA keluar beramai-ramai dari majlis pengumuman calon susulan kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar parti berkenaan.
“Jika MCA benar-benar merasakan BN tidak menghormatinya dan maruah MCA telah dipijak, maka jangan lagi bergantung kepada lambang dacing BN.
“Kalau benar ada maruah, gunakan logo MCA sendiri dan bertandinglah di kerusi tradisi MCA yang mahu diserahkan kepada PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chun Weng turut mempersoalkan dakwaan Wee bahawa beliau tidak mengetahui lebih awal mengenai majlis pengumuman calon berkenaan, sedangkan perkara itu telah dilaporkan oleh media.
“Pelbagai media telah melaporkan bahawa BN akan mengadakan perhimpunan dan mengumumkan calon. Tetapi Presiden MCA, yang juga merupakan pemimpin sebuah parti komponen BN, memberitahu seluruh negara bahawa beliau sendiri tidak tahu?” katanya.
Beliau berkata, MCA perlu membuktikan pendiriannya sekiranya akhirnya menerima keputusan BN untuk menyerahkan kerusi tradisinya kepada PN dan terus bertanding menggunakan logo BN.
Menurutnya, maruah politik bukan sekadar ditunjukkan melalui tindakan keluar dari majlis atau mengeluarkan kenyataan keras kepada media, sebaliknya perlu dibuktikan melalui tindakan yang selari dengan pendirian parti.
“Wee Ka Siong sendiri yang membangkitkan soal ‘maruah’. Maka buktikan kepada rakyat, gunakan logo MCA sendiri dan bertanding di kerusi tradisi MCA.
“Jika tidak, apa yang dikatakan sebagai maruah itu hanyalah sebuah persembahan politik untuk meraih undi simpati,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








