BERITA SEMASA

UEC: Kenapa tidak bantah peperiksaan GCSE, O-Level – soal DAPSY

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang terus membantah usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sedangkan Malaysia sejak dahulu mengiktiraf peperiksaan antarabangsa lain yang turut menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, Malaysia telah lama menerima sijil O-Level dan General Certificate of Secondary Education (GCSE) yang dikeluarkan Cambridge Assessment International Education (CAIE) dan Pearson Edexcel, walaupun peperiksaan tersebut sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris.

“Jika bahasa menjadi isu utama untuk menolak UEC kerana kononnya boleh menjejaskan integrasi kaum, mengapa O-Level dan GCSE tidak dibantah dengan kekuatan yang sama?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, bahasa Mandarin kini merupakan bahasa kedua paling banyak digunakan di dunia dengan lebih 1.1 bilion penutur, sekali gus menjadi satu kelebihan besar kepada pelajar Malaysia untuk menguasainya bagi peluang masa depan.

Beliau juga berkata, kecenderungan ibu bapa kini tidak lagi bergantung kepada garis pemisah kaum, sebaliknya memberi keutamaan kepada kualiti pendidikan.

“Kemasukan pelajar bukan Cina ke sekolah-sekolah Cina menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.

“Tahun lalu, seorang pelajar Melayu, Ahmad Kadir Ahmad Nazri, menjadi pelajar paling cemerlang di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

“Ini bukan kes terpencil kerana semakin ramai pelajar Melayu, Bumiputera dan India berjaya melalui sistem sekolah Cina termasuk yang mengambil peperiksaan UEC,” katanya lagi.

Syaheera turut mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan beberapa ahli politik lain yang kuat menentang UEC.

“Apabila semakin ramai anak Melayu berjaya dalam sistem pendidikan Cina, adakah mereka akan berlembut hati menerima UEC? Atau penolakan ini sekadar berpaksikan kepentingan politik sempit?” katanya lagi.

Menurut beliau, dasar pendidikan negara tidak boleh terperangkap dalam pemikiran lama sedangkan perubahan dan keperluan semasa menuntut keterbukaan.

“Jangan kerana politik yang hanya menjaga kepentingan kaum sendiri, peluang lebih besar untuk anak-anak Malaysia cemerlang di dalam dan luar negara dinafikan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button