BERITA SEMASA

Malaysia kutuk serangan gereja di Jordan – Wisma Putra

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap Gereja Greek Orthodox St. George di Kampung Hamoud, Wilayah Karak, Jordan yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, serangan terhadap rumah ibadat merupakan tindakan tidak boleh diterima sama sekali kerana mencabuli kesucian dan kehormatan tempat berkenaan.

“Malaysia bersama Kerajaan Hasyimiah Jordan dalam menolak keganasan dan ekstremisme dalam apa jua bentuk, tanpa mengira motif atau alasan.

“Perbuatan sedemikian juga bertentangan dengan nilai Islam yang menjunjung keamanan, belas kasihan, toleransi dan penghormatan terhadap sesama manusia,” menurut kenyataan itu hari ini.

Wisma Putra menegaskan, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Jordan termasuk menerusi komitmen bersama dalam memelihara keharmonian antara agama serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan sejagat.

Semalam, media melaporkan sekumpulan lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan puluhan yang lain dalam serangan di sebuah gereja di selatan Jordan.

Penyerang dilaporkan menceroboh gereja berkenaan dan melepaskan tembakan ketika berlangsungnya perarakan pengebumian.

Pengarah Keselamatan Awam Jordan, Mejar Jeneral Abdullah Al-Maaytah berkata, seramai 34 mangsa cedera dalam insiden itu, dengan 27 daripadanya masih menerima rawatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button