BERITA SEMASA

Terkilan cara pemergian adik dibunuh suami – Abang mangsa

NILAI – Seorang wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah kuarters kakitangan kerajaan di Jalan Kuarters KLIA, di sini malam tadi, disifatkan ahli keluarganya sebagai seorang yang ceria dan disenangi ramai.

Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, berkata, keluarganya sukar menerima hakikat Norhazwani Ibrahim, 35, meninggal dunia dalam keadaan tragis, lebih-lebih lagi dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri.

“Memang sudah sampai masa dia. Tetapi cara dia ‘pergi’ itu buatkan kami terkilan, lebih-lebih lagi pelakunya adalah suaminya sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Amran berkata, dia menerima panggilan daripada adik lelakinya pada pukul 7.30 malam yang memaklumkan Norhazwani atau mesra disapa Wani dan Mok Su dalam kalangan keluarga, dipercayai dibunuh suaminya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di rumahnya di Pinggiran Batu Caves, Selangor, sebelum dimaklumkan bahawa suspek menghubungi adik kelapan mereka untuk memberitahu mengenai perbuatannya itu.

“Perasaan ketika itu bercampur baur. Saya terkejut, tidak percaya dan marah. Saya kemudian terus menghubungi balai polis kerana suspek turut memaklumkan mahu menyerah diri,” katanya memetik laporan Metro Online.

Beliau berkata, selepas mendapat pengesahan daripada pihak polis, dia bergegas ke rumah pasangan berkenaan bersama beberapa saudara-mara lain.

BACA JUGA:
Penjawat awam wanita maut dipercayai dibunuh suami di kuarters KLIA
Suami disyaki bunuh pegawai kastam serah diri di balai polis

Amran berkata, Norhazwani merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dan lebih rapat dengan adik kelapan mereka berbanding ahli keluarga lain.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa kira-kira tujuh bulan lalu, namun mereka masih berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Daripada sembilan beradik, hanya kami tiga orang tinggal di sekitar Lembah Klang, manakala yang lain menetap di Kelantan.

“Semalam, adik kelapan datang ke rumah Wani dan bermalam di situ kerana ada urusan di sini. Dia juga sempat berpesan supaya Wani menjaga rumah tangga dengan baik.

“Tidak sangka kejadian mengejutkan ini berlaku malam tadi,” katanya.

Mengulas lanjut, Amran berkata, dia difahamkan suspek baru dibebaskan dari penjara beberapa hari lalu selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah, manakala pasangan itu dipercayai sedang dalam proses perceraian.

Menurutnya, Norhazwani seorang yang ceria dan disenangi ahli keluarga serta rakan sekerjanya.

Beliau berkata, majikan mangsa turut dimaklumkan akan membantu urusan membawa pulang jenazah ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan untuk dikebumikan.

Bagaimanapun, katanya, urusan bedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, perlu diselesaikan terlebih dahulu dan dijangka dijalankan pada Sabtu.

“Buat masa ini, saya akan menguruskan hal di sini bersama saudara-mara yang tinggal berdekatan, manakala ahli keluarga lain mungkin menunggu di kampung,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button