BERITA SEMASA

DEFA pacu ekonomi digital ASEAN kepada AS$2 trilion menjelang 2030

KUALA LUMPUR – Ekonomi digital ASEAN dijangka meningkat dua kali ganda kepada AS$2 trilion (RM8.4 trilion) menjelang 2030 susulan pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn berkata, DEFA yang dijadual ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 November ini, bakal menjadi pencapaian penting dalam perjalanan transformasi digital serantau.

Fahmi
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn (kanan) selepas menghadiri Persidangan M360 ASEAN di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau berkata, selepas ditandatangani, tempoh ratifikasi DEFA kini dipendekkan kepada hanya enam bulan bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

“DEFA dijangka meningkatkan ekonomi digital rantau ini daripada AS$1 trilion kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

“Ini menawarkan peluang besar kepada ratusan ribu perusahaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk melakukan transformasi dan menikmati manfaat penuh teknologi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan M360 ASEAN 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Kao, ekonomi digital ASEAN terus berkembang pada kadar memberangsangkan apabila nilai dagangan kasar (GMV) melebihi AS$300 bilion (RM1.2 trilion) pada 2025, dengan pertumbuhan kira-kira 15 peratus tahun ke tahun.

Katanya, perkembangan teknologi digital bukan sahaja mengubah ekonomi dan industri, malah turut mengubah kehidupan masyarakat serta mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan dan komuniti.

Beliau memberi contoh bagaimana integrasi sistem pembayaran digital membolehkan pelancong dari Kuala Lumpur membuat pembayaran dalam mata wang baht ketika berada di Bangkok tanpa perlu berurusan di kaunter pertukaran wang.

“Apabila satu transaksi itu digandakan kepada jutaan pelancong dan peniaga kecil di seluruh rantau, kita mula melihat bagaimana strategi nasional boleh memberi kesan apabila ia berfungsi bersama,” katanya.

Kao berkata, M360 ASEAN memainkan peranan penting sebagai jambatan antara pembuat dasar kerajaan dan sektor swasta dalam memastikan matlamat dasar digital diterjemahkan kepada pelaksanaan, pelaburan serta piawaian operasi yang berkesan.

Beliau turut menggariskan empat keutamaan bagi masa depan digital ASEAN, termasuk membangunkan infrastruktur rangkaian digital yang berdaya tahan dan boleh saling beroperasi, memperkukuh kepercayaan digital serta keselamatan siber, memastikan kelestarian dalam transformasi digital dan membangunkan bakat generasi akan datang.

m360
Persidangan M360 ASEAN 2026 menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri teknologi serta sektor komunikasi bagi membincangkan masa depan digital ASEAN.

Katanya, ASEAN juga sedang membangunkan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pertumbuhan PMKS Berteraskan Kecerdasan Buatan (AI) berserta pelan tindakan yang disasarkan untuk diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 November ini.

“Transformasi digital yang inklusif mesti memastikan PMKS, komuniti terpinggir dan syarikat pemula mempunyai pengetahuan, kemahiran serta sokongan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata, usaha mewujudkan pasaran digital tunggal dan ekonomi digital yang saling beroperasi akan memberi manfaat kepada hampir 700 juta penduduk ASEAN, sekali gus memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan dan sektor swasta.

M360 ASEAN 2026 dianjurkan Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri teknologi serta sektor komunikasi bagi membincangkan masa depan digital ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button