MCMC buka rundingan awam dua minggu bagi cadangan Kerangka Peraturan ‘spam’
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan rundingan awam selama dua minggu berhubung cadangan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) atau lazimnya dikenali sebagai ‘spam’.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diperkenalkan melalui pindaan perundangan diwartakan pada Februari 2025.
Menurut MCMC, kerangka berkenaan bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital yang bertanggungjawab dan memupuk ekosistem digital yang lebih selamat serta dipercayai.
“Selaras dengan peruntukan baharu itu, MCMC sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan untuk menangani peningkatan penghantaran UCEM,” katanya.
MCMC berkata, rundingan awam itu mengundang maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar dan orang awam.
Katanya, semua pihak dijemput meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan sebelum pukul 5 petang, 27 Ogos ini.
“MCMC mengalu-alukan input daripada semua pihak yang berminat sepanjang tempoh rundingan bermula 13 Ogos 2025 hingga 27 Ogos 2025.
“Inisiatif itu mencerminkan komitmen MCMC terhadap proses pembentukan dasar yang telus, inklusif, konsultatif dan berasaskan bukti,” katanya.
Maklumat lanjut dan dokumen rundingan boleh diakses di laman sesawang rasmi MCMC di pautan https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/public-consultation-on-unsolicited-commercial-ele.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








