BERITA SEMASA

Simposium Penyelidikan MCMC 2025: Raikan pendidikan, pacu kemajuan digital negara

SEPANG – Simposium Penyelidikan 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berlangsung hari ini bukan sekadar platform dialog, sebaliknya dirai sebagai medan ilmu dan pendidikan yang terus memacu kemajuan sektor komunikasi dan multimedia negara.

Bertemakan ‘Masa Depan Kesalinghubungan: Mendakap Kelestarian dan Pendekatan Berpusatkan Pengguna’, simposium yang berlangsung di Hotel Sama-Sama, di sini berjaya menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada wakil kerajaan, industri, akademia serta masyarakat sivil.

Malini berucap pada pembukaan simposium tersebut mewakili Dr Murugappan. 

Ketua Bahagian Akademi MCMC, Malini Ramalingam yang mewakili Ketua Pegawai Sumber Manusia MCMC, Dr Murugappan berkata, tema kali ini mencerminkan landskap digital yang sedang berkembang pesat dan memerlukan pendekatan lebih inklusif serta bertanggungjawab.

“Kesalinghubungan bukan sekadar pantas dan meluas, tetapi perlu lestari, inklusif dan berpaksikan kepada keperluan sebenar pengguna.

“Penyelidikan yang diketengahkan hari ini menyokong aspirasi negara serta keutamaan serantau, khususnya ketika Malaysia memegang Pengerusi ASEAN 2025,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Menurut beliau, projek-projek penyelidikan yang dibentangkan adalah hasil program Digital Society Research Grant (DSRG) yang menumpukan kepada kewarganegaraan digital, kesejahteraan siber dan keterangkuman digital, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Ucapan utama disampaikan Pengarah Serantau Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi Asia dan Pasifik, Dr. Atsuko Okuda yang menekankan kepentingan kesalinghubungan inklusif dan lestari dalam membentuk masa depan digital serantau.

Dr Okuda menyampaikan ucap tama secara virtual pada pembukaan simposium ini.

Sepanjang program tersebut, empat sesi panel akan turut diadakan meliputi topik kemahiran digital, penggunaan teknologi baharu seperti 5G dan Kecerdasan Buatan (AI), penyiaran berorientasikan pengguna serta cabaran kesalinghubungan di kawasan luar bandar.

Kesemua perbincangan itu menekankan matlamat bersama iaitu menjadikan kesalinghubungan lebih mampan, inklusif dan benar-benar berpusatkan pengguna, selaras dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Simposium ini adalah perayaan pendidikan dan penyelidikan bermakna yang mampu mencetuskan pandangan baharu, mengukuhkan kerjasama dan membimbing kita ke arah masa depan digital yang lebih berhubung, inklusif dan mampan,” tegas Malini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button