MCMC perluas Kempen Internet Selamat, rakyat perlu celik ancaman siber – Altimet
HULU LANGAT – Keselamatan digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya perlu menjadi budaya dalam kehidupan seharian setiap rakyat bagi menghadapi pelbagai ancaman siber yang semakin kompleks.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, kemajuan digital membawa pelbagai manfaat kepada rakyat dan negara, namun pada masa sama turut disertai cabaran seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran maklumat palsu serta penyalahgunaan data peribadi.
Menurutnya, ancaman berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan pembangunan ekonomi digital negara.
“Ketika berada di alam siber, keselamatan digital bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan yang perlu menjadi budaya dalam kehidupan seharian kita.
“Atas sebab itu, kerajaan melalui MCMC terus memperluaskan Kempen Internet Selamat sebagai usaha meningkatkan literasi digital dan membudayakan penggunaan internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab.
“Kempen ini memberi tumpuan kepada isu-isu semasa seperti penipuan dalam talian, buli siber, perjudian dalam talian, perlindungan data peribadi, eksploitasi seksual anak-anak serta penggunaan media sosial yang bertanggungjawab mengikut had umur yang akan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Hulu Langat, hari ini.
Baca juga : MCMC sasar sejuta peserta Kempen Internet Selamat tahun ini

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada komuniti setempat, pelajar, belia, ibu bapa serta pemimpin komuniti.
Dalam pada itu, Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet menghargai usaha MCMC memperluaskan pelaksanaan Kempen Internet Selamat menerusi penganjuran 120 Karnival Komuniti di seluruh negara sepanjang tahun ini, termasuk tujuh siri di Selangor yang turut melibatkan kawasan Lembah Jaya.
Beliau berkata, penganjuran program seperti itu penting bagi memastikan mesej berkaitan keselamatan digital dapat disampaikan secara lebih dekat kepada masyarakat, khususnya di peringkat komuniti.
Menurutnya, usaha mewujudkan ruang digital yang selamat memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata.
“Kerajaan boleh menyediakan dasar, penguatkuasaan dan program kesedaran. Namun kejayaannya bergantung kepada kerjasama ibu bapa, institusi pendidikan, industri, pertubuhan masyarakat dan juga setiap pengguna internet,” katanya.
Beliau berkata, Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat merupakan antara inisiatif utama MCMC bagi membawa mesej keselamatan digital lebih dekat dengan rakyat.
Katanya, jika sebelum ini program seumpamanya banyak dilaksanakan di sekolah dan institusi pendidikan, pendekatan kini diperluaskan ke peringkat komuniti supaya lebih ramai rakyat mempunyai pengetahuan serta kemahiran diperlukan untuk menghadapi cabaran dunia digital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















