MCMC sasar sejuta peserta Kempen Internet Selamat tahun ini
HULU LANGAT – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya sejuta rakyat menerusi 4,000 program Kempen Internet Selamat sepanjang tahun ini dalam usaha memperkukuh literasi digital serta daya tahan masyarakat terhadap pelbagai ancaman siber.
Sasaran itu dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif advokasi di seluruh negara, termasuk penganjuran 120 Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat sepanjang 2026 dengan tujuh siri dijadual berlangsung di Selangor.
Menurut MCMC, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan agensi itu bagi memperkasa masyarakat dengan pengetahuan, kemahiran dan amalan digital supaya penggunaan internet dapat dilakukan secara selamat, beretika serta bertanggungjawab.
Katanya, dalam landskap digital yang semakin berkembang, masyarakat kini berdepan pelbagai risiko seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran maklumat palsu, eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan teknologi.
“Sehubungan itu, usaha memperkukuh literasi digital dan kesedaran keselamatan siber amat penting bagi membantu masyarakat mengenal pasti risiko, melindungi diri serta memanfaatkan teknologi secara positif dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Hulu Langat yang berlangsung hari ini menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada komuniti setempat, pelajar, belia, ibu bapa serta pemimpin komuniti.
Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.
Baca juga : MCMC perkukuh kesedaran keselamatan dalam talian melalui karnival komuniti di Sook
Sehingga 30 Jun lalu, Kempen Internet Selamat telah menjangkau 10,303 sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara, selain dilaksanakan menerusi 2,143 program komuniti sejak diperkenalkan pada Januari 2025.
Karnival berkenaan menggunakan pendekatan interaktif menerusi aktiviti pendidikan, pameran, sesi libat urus dan program kesedaran digital bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, perlindungan data peribadi, penggunaan media sosial secara bertanggungjawab serta langkah mengelakkan jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Dalam masa sama, MCMC memaklumkan seramai 10,226 ahli Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Hulu Langat akan terus memainkan peranan sebagai ejen advokasi digital melalui pelaksanaan program literasi digital, latihan kemahiran dan aktiviti kesedaran di peringkat komuniti.
Menurut MCMC, kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan, pemimpin komuniti dan rakan strategik akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memiliki pengetahuan serta kemahiran untuk melindungi diri ketika menggunakan internet.
Katanya, usaha itu penting bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, dipercayai dan berdaya tahan, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi digital negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















