BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Op Optik: MCMC sita lebih 10,000 peralatan komunikasi tidak patuh standard

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita lebih 10,000 unit peralatan komunikasi yang tidak diperakui dan gagal mematuhi piawaian teknikal dalam satu operasi penguatkuasaan besar-besaran di sekitar Klang dan Petaling Jaya baru-baru ini.

Operasi pemeriksaan dikenali sebagai Op Optik itu dilaksanakan hasil risikan serta kerjasama strategik antara MCMC dan SIRIM, membabitkan seramai 69 pegawai dan mengambil masa selama 19 jam, bermula pukul 12 tengah hari hingga 4 pagi.

“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 10,112 unit peralatan komunikasi disyaki tidak diperakui telah disita dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM1 juta.

“Antara peralatan yang disita termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV) serta pelbagai peralatan sokongan operasi premis seperti komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan penghala WiFi,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

MCMC rampas
Operasi tersebut melibatkan penyertaan 69 pegawai dan berlangsung dalam tempoh 19 jam.

MCMC turut mendapati aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan terbabit dijalankan secara aktif melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial.

Seramai 40 individu telah diambil keterangan awal, manakala sembilan individu termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan dikeluarkan Notis Kehadiran bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC, di sini.

Menurut MCMC, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna serta mengganggu rangkaian perkhidmatan komunikasi negara.

“Peralatan yang tidak mematuhi piawaian teknikal berisiko menyebabkan gangguan rangkaian, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam keselamatan pengguna serta integriti pasaran tempatan,” menurut kenyataan MCMC.

Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button