MCMC perkasa kemahiran digital komuniti Negeri Sembilan melalui program AI@NADI
SERI MENANTI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan program AI@NADI di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti, Negeri Sembilan, bagi memperluas akses pembelajaran kecerdasan buatan (AI) kepada komuniti setempat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, melancarkan program AI@NADI yang dilaksanakan serentak di 62 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Negeri Sembilan bagi merapatkan jurang literasi kecerdasan buatan (AI) di peringkat akar umbi.

Menurut MCMC, inisiatif AI@NADI merupakan tunjang kepada agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah Program Perkhidmatan Pintar NADI.
“Program Perkhidmatan Pintar NADI memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran digital komuniti melalui latihan berasaskan keperluan semasa.
“Melalui kelas yang ditawarkan, peserta dibimbing secara praktikal untuk memanfaatkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, tugasan harian dan pembangunan komuniti,” menurut MCMC menerusi satu kenyataan.
Program itu turut menerapkan aspek penggunaan teknologi yang beretika, selamat dan bertanggungjawab dalam setiap modul pembelajaran.
Satu sasaran strategik yang ditekankan Fahmi adalah untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang Prompt Engineer di setiap NADI.

Individu yang dilatih sebagai Prompt Engineer itu kelak akan berperanan sebagai pemudah cara dan pakar rujuk setempat.
Mereka akan membantu masyarakat tempatan untuk meneroka dan memanfaatkan teknologi AI dengan lebih produktif, sekali gus menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi digital di komuniti masing-masing.
Selaras dengan peranannya sebagai platform pembelajaran digital yang inklusif, program AI@NADI ditawarkan secara percuma kepada seluruh lapisan masyarakat, termasuk pelajar, belia, dan usahawan tempatan.
Inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada golongan muda untuk menguasai kemahiran masa depan yang bernilai tinggi, malah berpotensi besar dalam menjana nilai ekonomi setempat dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berteraskan teknologi.
Pelaksanaan program itu mengukuhkan lagi kedudukan NADI bukan sekadar sebagai pusat akses Internet, malah sebagai hab komuniti digital yang dinamik.

Langkah itu dijangka mempercepatkan pembabitan aktif komuniti dalam ekonomi digital dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








