Sebar maklumat palsu kenaikan harga bahan api dan elektrik: 17 individu disiasat
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap 17 individu yang disyaki telah menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di platform media sosial.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, sehingga hari ini, sebanyak lapan rakaman percakapan suspek yang terlibat telahpun selesai, termasuk lima kes hantaran berunsur palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api.
“Daripada lima kes tersebut, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi telah selesai dirakam percakapan.
“Sementara itu, terdapat tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik. Baki sebanyak sembilan lagi suspek sedang dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat,” katanya hari ini.

Menurut MCMC, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Penyebaran maklumat-maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








