BERITA SEMASA

18 tahun tabur bakti, Mohd Azrul ‘pergi’ ketika bertugas

SEREMBAN – Selepas 18 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan penguatkuasaan, seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Azrul Rashid Yaakub, 42, maut dalam kemalangan ketika menjalankan tugas di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Senawang, malam tadi.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, Allahyarham yang bertugas sebagai Pembantu Penguat Kuasa mula menyertai agensi itu pada 2008 sebelum ditempatkan di Negeri Sembilan pada 2018.

Menurutnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang anggota yang rajin, bertanggungjawab dan tegas ketika melaksanakan amanah yang diberikan.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada jabatan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini hari ini.

BACA JUGA:
Anggota JPJ maut, empat cedera kemalangan dua treler

Mengulas lanjut, Jasyindar berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada pegawai penyiasat polis bagi mengetahui dengan lebih lanjut punca kejadian.

Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan jerebu yang melanda kawasan berkenaan serta faktor lencongan jalan antara aspek yang boleh diteliti dalam siasatan.

Bagaimanapun katanya, punca sebenar kemalangan itu hanya dapat dipastikan berdasarkan hasil siasatan polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, Mohd Azrul dilaporkan maut, manakala seorang lagi anggota JPJ, Noramirudin Rameli, 32, yang bertugas sebagai Pemeriksa Kereta Motor AB2 mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki dan tulang selangka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button