Operasi bersepadu R&R Temerloh, polis tahan 14 individu
TEMERLOH – Seramai 10 daripada 14 individu yang ditahan dalam satu operasi bersepadu pelbagai agensi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di Lebuhraya Pantai Timur, malam tadi disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tiga lelaki ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) setelah ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.
Beliau berkata, saringan dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terhadap 68 individu lain pula menemui tujuh lelaki positif dadah yang sama.
“Empat lagi tangkapan melibatkan seorang lelaki warga Indonesia dan tiga warga Bangladesh yang disyaki melakukan kesalahan imigresen.
“Kesemua 14 individu berkenaan telah diproses,” katanya.
Operasi selama empat jam bermula pada pukul 8 malam itu melibatkan pemeriksaan ke atas 371 kenderaan dan 388 individu.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintenden Suresh Subramaniam.
Mohd Nasyim berkata, kesalahan paling banyak direkodkan ialah penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi, iaitu sebanyak 45 saman, diikuti kesalahan memandu melebihi had laju (43 saman) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (12 saman).
Beliau menambah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 96 notis, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan dua notis kompaun serta tiga notis arah periksa semula kenderaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








