BERITA SEMASADALAM NEGERI

Warga asing tidak serik diserbu, DBKL perhebat operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur didapati masih berdegil dan tidak serik meskipun sering diserbu, memaksa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan di kawasan berkenaan.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi penguatkuasaan harian telah dijalankan di sekitar Jalan 1/3A dan Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur dari 5 hingga 11 Januari 2026.

Menurut DBKL, pemeriksaan dan pemantauan dilakukan ke atas pelbagai aktiviti perniagaan termasuk premis borong, restoran makanan, penjaja sayur-sayuran dan buah-buahan yang beroperasi tanpa lesen, melanggar syarat lesen, dikendalikan warga asing serta menyebabkan halangan di tempat awam.

“Pemantauan turut dijalankan ke atas kenderaan yang menghalang aliran trafik di kawasan tumpuan aktiviti perniagaan,” katanya.

Hasil operasi tersebut, DBKL mengeluarkan enam notis kompaun terhadap enam aktiviti perniagaan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, selain satu notis kompaun di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Selain itu, sebanyak 10 notis kompaun turut dikeluarkan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas di bawah kesalahan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Anggota penguatkuasa DBKL menyita barang jualan peniaga warga asing tanpa lesen sah di Pasar Borong Kuala Lumpur.

DBKL turut melaksanakan 21 tindakan sitaan dan pemindahan barangan perniagaan melibatkan barangan basah seperti ikan, ayam dan udang, selain sayur-sayuran, buah-buahan serta peralatan perniagaan daripada aktiviti perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan warga asing.

“Semua barangan sitaan telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL untuk tujuan rekod dan dokumentasi,” menurut kenyataan itu.

DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkan aduan melalui saluran rasmi DBKL yang disediakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button