Bumbung sekolah runtuh di Pakistan, 34 kanak-kanak, seorang guru maut
PESHAWAR – Sekurang-kurangnya 35 orang termasuk 34 kanak-kanak dan seorang guru maut selepas bumbung sebuah sekolah swasta runtuh bandar ini yang terletak di barat laut Pakistan, pada Khamis.
Kejadian di Sekolah Al-Khair itu turut menyebabkan lebih 50 orang cedera, dengan pihak berkuasa dan pegawai hospital menyifatkannya sebagai insiden runtuhan bangunan paling dahsyat pernah berlaku di negara berkenaan.
Jurucakap Hospital Lady Reading, Mohammad Asim berkata, mangsa yang maut atau cedera terdiri daripada kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun, manakala mangsa paling tua berusia 14 tahun.
“Sebahagian mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, menyebabkan pihak hospital mengisytiharkan situasi kecemasan bagi membolehkan rawatan diberikan segera,” lapor berita antarabangsa.
Sementara itu, jurucakap perkhidmatan kecemasan, Bilal Faizi berkata, semua mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan berjaya dikeluarkan beberapa jam selepas kejadian.
Beliau berkata, bumbung dua bilik darjah runtuh ketika murid Tahun Dua dan Tahun Tiga sedang mengikuti pembelajaran bersama guru masing-masing.
Katanya, ambulans dan anggota pengurusan bencana dari sebuah kemudahan berhampiran tiba di lokasi dalam tempoh lima minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Hampir 100 anggota penyelamat kemudian menyertai operasi berkenaan, manakala ibu bapa yang panik dan bersedih turut berusaha membantu ketika pasukan penyelamat tiba,” katanya.
Faizi berkata, tindakan pantas pasukan kecemasan berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 40 nyawa. Lebih sedozen kanak-kanak pula mengalami kecederaan ringan.
Insiden bangunan runtuh bukan perkara asing di Pakistan, susulan penguatkuasaan piawaian pembinaan yang lemah.
Banyak bangunan di negara itu didakwa dibina menggunakan bahan yang tidak memenuhi piawaian, manakala peraturan keselamatan sering diabaikan bagi mengurangkan kos pembinaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








