Kes tikam di sekolah: Mangsa dijangka dibenar keluar hospital minggu depan
KUALA LANGAT – Pelajar perempuan yang cedera selepas dipercayai ditikam rakannya di sebuah sekolah di Banting semalam, dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Banting dalam tempoh kira-kira seminggu lagi, bergantung kepada perkembangan tahap pemulihannya.
Bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, keadaan anaknya kini semakin stabil dan masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan.
“Alhamdulillah, keadaan anak pagi ini semakin stabil. Dia ada beritahu tidak berasa terlalu sakit, namun masih dipantau doktor dan jururawat.
“Tiub yang dipasang untuk mengeluarkan darah masih berada di paru-parunya. Dalam dua atau tiga hari lagi doktor akan menilai perkembangannya. Saya sendiri tidak pasti sedalam mana luka itu.
“Berdasarkan makluman doktor, paling awal dia boleh dibenarkan pulang dalam tempoh seminggu,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, hari ini.
Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu dipindahkan ke wad selepas menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam yang bermula pada jam 4 petang semalam.
BACA JUGA:
Pelajar sekolah menengah cedera dalam insiden tikaman di Banting
Kes tikam di sekolah: Pelajar cedera sedang dirawat, suspek telah ditahan polis – JPN Selangor
Kes tikam di sekolah: Bapa mangsa dedah anaknya bukan sasaran suspek, alami 14 kesan tikaman
“Dia belum menceritakan apa-apa mengenai kejadian itu. Dia masih trauma, air matanya masih mengalir dan saya biarkan dia berehat dahulu,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Mohd Firuz turut berharap insiden yang menimpa anaknya menjadi pengajaran kepada semua pihak, khususnya dalam memperkukuhkan aspek keselamatan di sekolah.
“Saya harap tindakan sewajarnya dapat diambil kerana soal keselamatan di sekolah sangat penting. Apa juga urusan perlu melalui tapisan di pintu masuk sebelum seseorang dibenarkan berjumpa guru atau pelajar.
“Saya juga berharap anak saya mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar sekolah menengah cedera akibat ditikam dalam kejadian yang turut tular di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















