JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar pengsan dipercayai dibelasah rakan asrama

SUNGAI PETANI – Polis menahan empat pelajar selepas seorang pelajar lelaki ditemui tidak sedarkan diri di tandas asrama sebuah sekolah di sini, awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat selepas ibu mangsa dihubungi seorang guru pada jam 9.05 pagi, memaklumkan anaknya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

“Ibu mangsa memaklumkan anaknya memberitahu dia telah dipukul oleh beberapa pelajar lain pada jam 12.10 tengah malam hari sama hingga menyebabkan dia pengsan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di dalam asrama sekolah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati insiden itu berpunca daripada dakwaan kononnya mangsa telah mengeluarkan kata-kata kurang baik mengenai rakan kepada salah seorang suspek, sebelum empat pelajar lain dipanggil untuk ‘menghadap’ mangsa sehingga tercetus pergaduhan.

Hanyan memaklumkan, ini merupakan kejadian pertama seumpamanya dilaporkan di sekolah berkenaan yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Susulan itu, empat pelajar berusia 16 hingga 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan, namun hanya seorang daripadanya pelajar berusia 16 tahun direman oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, manakala tiga lagi dibebaskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan buli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button