Nahas enam maut: Proton X50 terlibat kemalangan baru ‘keluar kedai’ pagi tadi
SUNGAI PETANI – Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang terlibat dalam kemalangan ngeri sehingga meragut enam nyawa di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini hari ini difahamkan baru sahaja diambil dari pusat jualan pagi tadi.
Kenderaan tersebut dipercayai diambil di sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang pada pukul 11 pagi sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tanah beberapa jam kemudian.
Dalam kejadian itu, enam penumpang SUV berkenaan maut, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah dan kini menerima rawatan di hospital.
Mangsa yang terkorban ialah pemandu kenderaan, Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 27; adiknya, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang bayi berusia enam bulan.
Kesemua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
BACA JUGA:
SUV bertembung lori, enam maut termasuk bayi
Menurut ahli keluarga, Proton X50 itu merupakan milik Ahmad Fahim yang bertugas sebagai anggota polis di Pulau Pinang.
Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi pusara bapa mereka sambil mencuba kenderaan baharu tersebut.
Bapa kepada salah seorang mangsa, Ibrahim Ghazali yang juga abang ipar kepada Ahmad Fahim berkata, anak keduanya yang berusia tujuh tahun turut serta pada saat akhir kerana teruja menaiki kenderaan baharu.
“Pagi ini mereka sangat teruja dan sempat ambil gambar kereta baharu termasuk anak saya yang beria-ia mahu ikut kerana ingin menaikinya.
“Tetapi kami tidak sangka tragedi ini berlaku dalam sekelip mata,” katanya memetik laporan BH Online.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dijangka mengadakan sidang media berhubung kemalangan tersebut di Jabatan Forensik HSB malam ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








