Kontraktor rugi RM50,400 diperdaya tender palsu pembekalan ‘portable charger’
KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor pendawaian mengalami kerugian sebanyak RM50,400 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan tender palsu bagi pembekalan peralatan jana kuasa mudah alih (portable charger).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 52 tahun tampil membuat laporan polis pada pukul 3.58 petang semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian bermula pada 14 Julai lalu apabila mangsa menerima emel sebut harga berkaitan projek pemasangan lampu jalan solar LED di bawah peruntukan khas Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) ketika berada di pejabatnya di Jalan Sultan Zainal Abidin.
“Mangsa kemudian menghubungi seorang individu dikenali sebagai Nik Syahril yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Suspek menawarkan peluang membekalkan tiga unit portable charger jenis Anker Solix F3800 pada harga RM16,800 seunit sebelum memperkenalkan sebuah syarikat pembekal dikenali sebagai Xynova Trading,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang lagi individu dikenali sebagai James melalui aplikasi WhatsApp sebelum membuat dua pembayaran ke akaun RHB Bank milik syarikat tersebut pada Khamis lalu.
Katanya, transaksi pertama melibatkan bayaran RM40,400, diikuti RM10,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM50,400 yang menggunakan wang simpanan perniagaan mangsa.
Bagaimanapun, pada 25 Julai lalu, mangsa gagal menghubungi semula pembekal berkenaan apabila semua saluran komunikasi didapati telah disekat, sekali gus menyedari dirinya diperdaya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Sehubungan itu, Azli menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sebarang tawaran tender atau syarikat pembekal dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















