Orang ramai diingatkan waspada penipuan sempena musim bantuan, perayaan
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan aktiviti penipuan dalam talian, khususnya menjelang musim pembayaran bantuan serta persiapan perayaan.
Menurut Fahmi, tempoh berkenaan sering dimanfaatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk sindiket penipuan, untuk memancing mangsa.
Beliau berkata, ingatan tersebut susulan bantuan SARA berjumlah RM100 yang akan mula dimasukkan ke dalam MyCard bagi semua warga negara berusia 18 tahun ke atas bermula esok.
“Sedikit peringatan, esok semua orang yang berusia 18 tahun ke atas akan mendapat Sumbangan Asas Rahmah atau SARA, semua akan dapat RM100. Bukan adik-adik bawah 18 tahun,” katanya sambil menambah bantuan itu untuk pembelian sepanjang tahun sehingga 31 Disember 2026.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 di ibu negara, hari ini.
Fahmi menambah, rakyat Malaysia juga akan menyambut Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, dan sudah pasti ibu bapa akan mula mengeluarkan wang untuk persiapan perayaan.
“Berwaspada kerana pada waktu inilah scammer akan berleluasa. Mereka anggap ini musim untuk ‘memancing’ mangsa. Sekiranya tuan-tuan menerima SMS yang mengandungi pautan hyperlink, sila jangan tekan,” ujarnya.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan semua syarikat telekomunikasi sejak tahun lalu supaya SMS tidak mengandungi pautan hyperlink bagi mengelakkan penyalahgunaan.
“Jika tuan-tuan mendapat SMS yang mempunyai hyperlink, ia bermaksud tidak jauh dari lokasi tuan-tuan, ada scammer yang menyalahgunakan apa disebut sebagai fake base station atau fake BTS, bukan BTS K-pop. Mereka menghantar mesej scam ke telefon masing-masing,” katanya.
Fahmi berkata, pihak kerajaan dan NGO MyKasih telah meningkatkan kapasiti sistem bagi memastikan pelaksanaan pembayaran SARA berjalan lancar tanpa gangguan seperti yang berlaku pada hujung tahun 2025.
“Pagi tadi saya telah bercakap dengan Datuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Merikan, beliau memberi jaminan bahawa dalam hari-hari pertama pelaksanaan SARA, semua telah dipelajari bagi mengelak masalah sistem yang sebelum ini berlaku,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








