BERITA SEMASA

Syarikat komunikasi gagal patuhi standard mandatori kualiti berdepan hukuman bawah Akta 588

KUALA LUMPUR – Pemberi perkhidmatan komunikasi yang gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) berdepan tindakan di bawah Seksyen 53 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus melaksanakan audit kualiti secara berkala di seluruh negara bagi memastikan standard tersebut terus dipatuhi.

“Ketidakpatuhan Arahan Suruhanjaya tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kegagalan mematuhi arahan tersebut juga boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM500,000,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Nie Ching berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai kaedah pemantauan dan penalti yang dikenakan terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal memberi liputan memuaskan khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, lokasi dimana audit dilaksanakan dikenal pasti melalui sumber aduan dan data pengujian orang awam yang merekodkan banyak keputusan di bawah piawaian MSQoS.

Dalam pada itu, Nie Ching memaklumkan, sebanyak 2,781 ujian kualiti telah dijalankan di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Daripada jumlah tersebut menurutnya, 1,684 ketidakpatuhan MSQoS dikesan melibatkan 815 lokasi keseluruhan.

“Pemberi perkhidmatan telah berjaya membuat penambahbaikan pada 462 ketidakpatuhan sehingga patuh terhadap standard mandatori.

“Baki 1,222 ketidakpatuhan masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya kerana melibatkan naiktaraf menara sedia ada atau pembinaan menara baharu yang mengambil masa lebih lama.

“Orang awam juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan lokasi yang mengalami masalah kualiti perkhidmatan melalui aplikasi MCMC NEXUS,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button