JENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat dakwaan warga emas maut akibat bergaduh di pusat jagaan

SUNGAI PETANI – Polis sedang menyiasat kematian seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun di sebuah pusat jagaan, di sini selepas keluarga mangsa mendakwa kematian itu berpunca daripada pergaduhan dengan penghuni lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asistan Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan daripada pengurusan pusat jagaan berhubung kematian lelaki terbabit petang semalam.

Menurutnya, keluarga mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dengan mendakwa mangsa meninggal dunia akibat pergaduhan dengan seorang rakan di pusat jagaan berkenaan.

“Sejurus selepas itu, keluarga mangsa membuat laporan berkaitan kejadian itu dan mendakwa mangsa meninggal dunia akibat pergaduhan dengan rakan di pusat itu.

“Siasatan awal mendapati terdapat lebam pada badan mangsa namun kesan itu tidak menyebabkan kematian atau akibat pergaduhan seperti mana didakwa keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis telah merakam percakapan beberapa individu di pusat jagaan itu bagi membantu siasatan.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button